Picture 15 300x203 2 - Bajet 2012 boleh menyebabkan petaka ekonomi?

Bajet 2012 boleh menyebabkan petaka ekonomi?

Bajet 2012 boleh menyebabkan petaka ekonomi?

Walaupun banyak pihak menyifatkan Bajet 2012 adalah ‘gula-gula politik’ dan bajet pilihanraya, kita memilih untuk bersangka baik terhadap niat kerajaan membantu rakyat.

Namun, untuk kekal bersangka baik agak susah juga. Ini kerana kita turut dihadapkan dengan beberapa persoalan sejak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, membentangkan bajet itu di Parlimen pada 7 Oktober 2011.

Antaranya ialah  laporan yang memetik beberapa ahli ekonomi berpendapat Bajet 2012 berisiko membawa negara ke arah corak perbelajaan tidak mampan. Ini berbahaya ketika ekonomi dunia kini dalam keadaan tidak menentu.

Pendapat itu disuarakan Pengarah Penyelidilan Global, Bank of Amerika, Chua Hak Bin di dialog pasca Bajet 2012 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Universiti Malaya, 10 Oktober 2011.

Menurut laporan malaysianinsider.com, Chua menyatakan hutang isirumah dan hutang awam kini berada pada paras membimbangkan. Chua juga mengaitkan kedudukan itu dengan kadar defisit yang akan memberi tekanan kepada ekonomi semasa.

Paras hutang domestik yang tinggi bukan cerita baru. Laporan pada 2009 yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan disiarkan beberapa akhbar utama menyebut Malaysia mempunyai hutang isirumah tertinggi di Asia.

Paras hutang isirumah daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat kepada 76.6 peratus bagi 2009 berbanding 63.9 peratus pada 2008.

Apa yang dapat difahami mengenai statistik ini ialah pinjaman untuk membiayai keperluan isirumah lebih meningkat berbanding pinjaman membiayai perniagaan.

Hutang negara pula dilaporkan meningkat 11.9 peratus daripada RM437 bilion kepada RM455.75 billion.

Paras hutang yang semakin tinggi sudah tentu tidak sihat untuk rakyat dan negara.

Dan, Bajet 2012 yang memberi imbuhan besar kepada penjawat awam serta beberapa imbuhan kepada gologan tertentu, sudah tentu akan menyebabkan kenakan harga barangan dan perkhidmatan. Ia juga memungkinkan pertambahan hutang domestik.

Golongan yang paling dijangka mendapat petaka ekonomi akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan ialah rakyat tidak berpendapatan tetap dan berpendapatan rendah, terutama penduduk luar bandar dan pekerja swasta.

Benar. Ada ahli akademik cuba berhujah dangkal kononnya Bajet 2012 turut memberi kemudahan setara kepada semua golongan. Antaranya ialah laporan utusan.com.my yang memetik kenyataan Pensyarah Kanan, Pengurusan Strategi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Halim Hilman Abdullah.

Jika laporan itu benar, tepat dan tidak diselewengkan, pensyarah terbabit bermaksud kerajaan berlaku adil walaupun nampak seolah-olah hanya kakitangan awam diutamakan dalam bajet berkenaan.

Beliau dipetik sebagai berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan besar seperti imbuhan RM500, pemansuhan yuran persekolahan dan pembangunan luar bandar, bukan mengutamakan kakitangan awam sahaja.

Ini adalah hujah dangkal kerana pemansuhan yuran sekolah dan pembangunan luar bandar turut dinikmati semua golongan, termasuklah mereka yang menerima kenaikan gaji.

Sudah tentu petaka besar akan menimpa golongan berpendapatan rendah dan tidak tetap. Malah, gendang raya kenaikan harga barang sudah dipalu apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sendiri dilaporkan mengambil langkah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Harga bagi mengekang kenaikan harga hanya beberapa hari selepas bajet dibentangkan di Parlimen. Maknanya, tempias petaka kenaikan harga akan segera dirasai mereka berpendapatan rendah dan tidak berpendapatan tetap.

Kita mahu bersangka baik terhadap niat kerajaan membantu rakyat, tetapi beberapa persoalan yang dihadapkan saban hari sejak Bajet 2012, amat meresahkan.

Wall Street Journal (WSJ), media ekonomi dan kewangan berpengaruh di peringkat global, turut menyifatkan pemberian ‘buah tangan’, yang diumumkan dalam jumlah yang banyak menerusi Bajet 2012 tidak akan membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sebaliknya menurut akhbar itu, pentadbiran Najib perlu memperkenalkan pembaharuan menyeluruh untuk membantu Malaysia mencapai pertumbuhan yang diharapkan.

Apa yang dimusykilkan, terutama oleh kalangan parti pembangkang ialah, unjuran dan angka di dalam bajet berkenaan tampak tidak berwibawa dan tidak realisitk.

Malah, terbaru MIER sudah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6 peratus. Badan itu menganggap, berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran pertumbuhan lima peratus hingga  enam peratus yang diguna pakai adalah sukar untuk dicapai.

Mungkin dengan ‘satu dua angka’ boleh mengelirukan ‘orang kampung’ yang tidak memahami selok belok ekonomi, tetapi ia tidak dapat mengabui mata semua orang.

Justeru, kerajaan perlu bukan sahaja menjadikan bajet berkenaan berwibawa dengan unjuran yang munasabah, malah bajet itu petlu dilihat sebagai realitsik dan konkrit dalam usaha membantu rakyat, bukan semata-mata ‘gula-gula politik’.

Kita seboleh-bolehnya mahu sentiasa bersangka baik kepada kerajaan dalam nawaitunya membantu rakyat. Namun, beberapa persoalan di atas perlu dijawab terlebih dahulu.

Setidak-tidaknya, Bajet 2012 perlu didahului Laporan Ketua Audit Negara seperti amalan yang biasa dilakukan.

Ibarat bertukang rumah; rumah bukan sahaja molek dipandang mata, malah tidak berbahaya untuk didiami. – inimajalah.com

filip mroz gma1zfS3 6E unsplash - Perlukah kejut anak dengan seterika panas?

Perlukah kejut anak dengan seterika panas?

Semalam, bernama.com melaporkan dua pelajar mendakwa seorang guru di asrama sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, Kelantan, menggunakan seterika panas untuk mengejutkan 11 pelajar yang lewat bangun menunaikan solat Subuh dalam satu kejadian pada 12 Oktober lalu.

Dua pelajar berkenaan, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, mendakwa kejadian berlaku kira-kira 6.15 pagi ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Berikutan itu, kedua-dua beradik terbabit dikatakan melecur di bahagian kaki dan lengan menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis keesokannya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliluddin Rahim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 13 Oktober lalu dan polis sudah menahan guru terbabit berumur dalam lingkungan 40-an untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini tidak bertujuan memperincikan kes berkenaan. Biarlah polis menyiasat bagi menentukan kesahihan dakwaan terbabit.

Namun, ada sisi menarik yang patut diperhatikan daripada insiden ini. Tanpa merujuk kepada kes ini secara khusus, penulis mahu bertanya; sejauhmana kesungguhan kita dalam mendidik anak bukan sahaja mendirikan solat, tetapi kekal istiqamah menjaga atau mengerjakan solat lima waktu, terutama Subuh?

Soalan ini tidak relevan bagi ibubapa yang memang tidak pernah mengerjakan solat, tetapi bagi ibubapa yang mengerjakan solat, walaupun mungkin kadang-kadang tidak sepenuhnya, soalan ini amat relevan. 

Sejauhmanakah kita bersungguh-sungguh memastikan setiap anak kita dididik mengerjakan solat secara tetap dan tertib? Adakah kita lebih berasa marah jika anak ponteng sekolah berbanding jika anak ponteng solat? Jika ini situasinya, anda dan anak anda berada dalam bahaya!

Biasanya kita mengejutkan anak waktu pagi atau kala Subuh adalah lebih kerana mahu dia ke sekolah, bukan disebabkan mahu dia mengerjakan solat Subuh. Betul atau tidak? Kalau pun anak yang bangun pagi kemudian mengerjakan solat Subuh setelah mandi, namun niat kita mengejutkannya daripada tidur lebih disebabkan mahu dia ke sekolah.

Dan, berapa ramai ibubapa membiarkan anak ketinggalan mengerjakan solat Subuh dek takut ketinggalan bas sekolah atau lewat ke sekolah.

Mari kita perhatikan situasi pada bulan Ramadhan. Biasanya, tidak dapat tidak kita berusaha sedaya mungkin bagi memastikan anak kita bangun makan sahur. Dengan apa cara sekali pun, kita akan memastikan anak kita bangun makan sahur, tetapi sedar atau tidak bahawa makan sahur itu sunat tetapi solat Subuh yang wajib itu kita sering remehkan? Kita mungkin sering merelakan anak kita ke sekolah tanpa mengerjakan solat Subuh terlebih dahulu.

Jadi, secara analoginya, perlukah kita menggunakan seterika panas untuk mengejutkan anak kita mengerjakan solat Subuh (api neraka itu jauh lebih panas berbanding bahang seterika)?

Secara praktiknya, Islam tidak mengajar sedemikian. Islam mengajar mendidik secara berhikmah, tetapi jangan ‘ala kadar’ sahaja. Ibubapa mesti tegas dan tetap memastikan anak-anak mengerjakan solat, termasuk Subuh. – inimajalah.com

matthew kwong qJgW5ewKCO8 unsplash - Awas, hampir 20,000 klip seks 3gp dari Malaysia

Awas, hampir 20,000 klip seks 3gp dari Malaysia

Setiap kali ada kes penemuan bayi dibuang (malah dicampakkan dari atas bangunan), kita kononnya tersentak  – mengutuk dan mengeji perbuatan itu.

Namun, ada satu gejala yang kadang-kadang kita kesampingkan, tetapi ia ada kaitan amat rapat dengan perbuatan buang bayi. Ia ialah perlakuan seks bebas remaja, terutama membabitkan Melayu.

Dan, paling menonjol perlakuan seks itu dipertontonkan kepada umum menerusi internet. Seperti dilaporkan hmetro.com.myhari ini, Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Azli Paat berkata, berdasarkan carian di internetsaja, hampir 20,000 klip seumpama itu yang memaparkan aksi lucah atau video seks adalah membabitkan rakyat di negara ini.

Tidak begitu susah untuk melihat kebenaran fakta ini. Anda hanya perlu menaip beberapa perkataan asperti ‘Melayu 3gp’, ‘Awek 3gp’ atau ‘Bohsia 3gp’. Ia bukan saja memaparkan aksi lucah pasangan remaja, sebaliknya ada membabitkan pasangan suami isteri selain aksi wanita dalam keadaan mengghairahkan.

Semakan inimajalah.com di internet pula mendapati sebahagian besar klip berkenaan adalah membabitkan remaja Melayu – sesuatu yang amat mendukacitakan Islam.

Aksi berkenaan juga membabitkan ramai pelajar sekolah – sesuatu yang amat mendukacitakan yang menyebabkan semua pihak sepatutnya mengambil tindakan drastik dan konkrit, sekarang!
Seperti kata Azli, jumlah hampir 20,000 itu berdasarkan carian di internet, iaitu membabitkan aksi seks atau lucah yang dimuat naik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Namun kita percaya, jumlah klip video ini boleh meningkat hingga sekali ganda kerana ada yang disimpan oleh pasangan kekasih sebagai koleksi peribadi,” katanya.

Menurut Azli, kebanyakan klip 3gp yang memaparkan aksi lucah pasangan remaja dirakam menggunakan telefon bimbit dan selebihnya dirakam menggunakan peranti yang mempunyai kebolehan untuk merakam video dan juga menerusi kamera web.

Sementara itu, tinjauan akhbar terbabit mendapati klip 3gp menjadi antara koleksi lucah yang disimpan dalam telefon bimbit kebanyakan remaja.

Jika tidak menyimpannya sekalipun, rata-rata remaja ditemui wakil akhbar itu mengakui pernah melihat klip berkenaan sama ada menerusi telefon bimbit rakan atau di internet.

Format 3gp menjadi pilihan kerana menerusi format itu, perkongsian fail video lebih mudah kerana bersaiz kecil, mempunyai kualiti hampir sama dengan format kamera video profesional, iaitu MP4 atau AVI, dan senang dimuat naik ke internet atau disebar di kalangan pengguna telefon bimbit.

Biasanya tujuan awal rakaman adalah untuk simpanan peribadi pasangan kekasih, tetapi ia akhirnya didedahkan kepada umum di internet.  Lebih parah, ia menjadi bahan ugutan terhadap remaja terbbait, terutama remaja perempuan.

Justeru, kita mahu tunggu apa lagi? Kita mahu tunggu bala tahap apa lagi untuk diturunkan di negara ini sebelum mahu mengambil tindakan benar-benar serius dan konkrit mengatais masalah ini?

Jangan tunggu anak anda tiba-tiba terlihat di dalam satu daripada klip seks 3gp. Ambil tindakan sekarang. Pastikan dengan apa cara yang wajar agar anak anda tidak bergaul bebas berlainan jantina sesuka hati kerana apabila berdua, makhluk ketiga ialah syaitan! – inimajalah.com