Inimajalah 1 Utama,Artikel,Artikel Terkini,Berita,Berita,Semasa,Terkini WWW1: Nizar pertikai bidaan RM0.5 juta oleh Sultan Johor?

WWW1: Nizar pertikai bidaan RM0.5 juta oleh Sultan Johor?


clem onojeghuo 1mn6ERT0XNc unsplash 2 - WWW1: Nizar pertikai bidaan RM0.5 juta oleh Sultan Johor?

Bidaan Sultan Johor berharga RM520,000 bagi plat kenderaan WWW1 yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi semalam, kini mencetuskan kontroversi baru di kalangan komuniti online.

Paling hangat sejak beberapa jam lalu ialah berikutan catatan yang dikatakan dibuat oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di laman Twitternya berhubung bidaan itu.

Tinjauan inimajalah.com.my di Internet sejak jam 1.30 pagi tadi mendapati beberapa blog mengulas komen Mohammad Nizar terhadap bidaan Sultan Johor itu.

Antara blog yang awal dikesan menyiarkan laporan mengenai kontroversi itu ialah khairulryezal.blogspot.comjawaber6.blogspot.com dan matkilaupenang.blogspot.com.

Beberapa blog mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) itu membuat catatan di laman Twitter (https://twitter.com/mbnizar) yang menyifatkan amaun bidaan Sultan Johor sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin.

Menurut catatan di Twitter itu, amaun berkenaan juga boleh digunakan bagi membina 20 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Semakan inimajalah.com.my kira-kira jam 3 pagi ini di laman sosial yang dikatakan milik Mohammad Nizar itu mendapati ia mengandungi beberapa catatan mengenai bidaan terbabit, antaranya ialah “rm520k boleh dibelanjakan membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah PPRT!”

Catatan lain di laman sama ialah “rm520k untuk no plate WWW1, xkan (takkan) nak letak kat kereta proton atau motor kut? Ramai lagi rakyat yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang!”

Sejak pagi semalam, hampir semua media online dan media tradisional menyiarkan JPJ menyenaraikan pemilik nombor pendaftaran kenderaan paling mahal dalam sejarah Malaysia ialah Sultan Johor.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilapor membida RM520,000 untuk mendapatkan nombor plat ‘WWW1′.

Turut disiarkan di laman web rasmi JPJ ialah senarai pembida yang berjaya untuk plat premium, termasuklah Yang di Pertuan Agong bagi nombor pendaftaran ‘WWW5′ pada harga RM220,000.

Blog terbabit, kebanyakannya pro Umno-Barisan Nasional (BN), yang melaporkan mengenai kontroversi terbaru berikutan komen Mohammad Nizar itu turut menyiarkan penjelasan Tunku Mahkota Johor berhubungsumber pembiayaan bagi bidaan terbabit.

Semakan inimajalah.com.my di laman Twitter berkenaan (http://twitter.com/#!/HRHjohor2 danhttp://www.twitlonger.com/show/hji7i7) kira-kira jam 3 pagi ini juga menemui catatan:

“Johor Royal Family does Not take any Money from the Government. Since the time of Almarhum Sultan Ibrahim. Feel free to ask the MB or any Government officials. The Money allocated to My Father and I every month as a Sultan and Tunku Mahkota is put into Yayasan Iskandar and Yayasan Ibrahim”

(Keluarga Diraja Johor tidak mengambil sebarang wang dari kerajaan. Sejak zaman Almarhum Sultan Ibrahim. (Anda) boleh tanya Menteri Besar atau mana-mana pegawai kerajaan. Wang yang diperuntukkan untuk ayah beta dan beta setiap bulan sebagai Sultan dan Tunku Mahkota disalurkan kepada Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim). – inimajalah.com.my