Ada banyak cara untuk menjadi jutawan. Satu daripadanya ialah dengan menulis buku. Jika dahulu menjadi jutawan dengan menulis buku adalah sesuatu yang hampir mustahil, sejak kewujudan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS) status itu mampu dicapai.
Malah menurut universitipts.com, mulai tahun lalu syarikat itu berjaya melahirkan empat ‘penulis jutawan PTS’.
Mereka ialah Abd Latip Talib (novel sejarah), Muhammad Alaxender (buku sejarah Islam), Chef Hanilieza (buku resipi) dan Ain Maisarah (novel remaja).
Penulis berkenaan memperolehi purata nilai jualan buku masing-masing RM1 juta setahun yang memungkinkan mereka menerima royalti daripada kerja penulisan sebanyak RM100,000 setahun.
“Dalam bahasa PTS, penulis yang dilabelkan sebagai ‘penulis jutawan PTS’ adalah mereka yang buku-bukunya berjaya dijual pada nilai lebih RM1 juta setahun.
“Purata apabila nilai buku mereka terjual RM1 juta, royalti mereka adalah RM100 ribu setahun.
“Dengan andaian setiap tahun mereka berjaya menjual RM1 juta, maka dalam 10 tahun mereka menerima royalti RM1 juta,” catat web terbabit dalam entri terbarunya, hari ini.
Menurut universitipts.com, pada 2009 hanya seorang penulisnya berjaya dilabelkan sebagai ‘penulis jutawan PTS’, iaitu Abd. Latip Talib yang terkenal dengan penulisan buku dalam genre sejarah.
Bagaimanapun, artikel terbabit tidak menyebut jumlah penulis PTS setakat ini.
Keempat-empat penulis yang berjaya dikenal pasti sebagai ‘penulis jutawan PTS’ adalah mempunyai ciri sama, iaitu penulisan mereka amat fokus kepada sesuatu genre sahaja. - inimajalah.com

