Perlukah kejut anak dengan seterika panas?


filip mroz gma1zfS3 6E unsplash - Perlukah kejut anak dengan seterika panas?

Semalam, bernama.com melaporkan dua pelajar mendakwa seorang guru di asrama sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, Kelantan, menggunakan seterika panas untuk mengejutkan 11 pelajar yang lewat bangun menunaikan solat Subuh dalam satu kejadian pada 12 Oktober lalu.

Dua pelajar berkenaan, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, mendakwa kejadian berlaku kira-kira 6.15 pagi ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Berikutan itu, kedua-dua beradik terbabit dikatakan melecur di bahagian kaki dan lengan menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis keesokannya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliluddin Rahim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 13 Oktober lalu dan polis sudah menahan guru terbabit berumur dalam lingkungan 40-an untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini tidak bertujuan memperincikan kes berkenaan. Biarlah polis menyiasat bagi menentukan kesahihan dakwaan terbabit.

Namun, ada sisi menarik yang patut diperhatikan daripada insiden ini. Tanpa merujuk kepada kes ini secara khusus, penulis mahu bertanya; sejauhmana kesungguhan kita dalam mendidik anak bukan sahaja mendirikan solat, tetapi kekal istiqamah menjaga atau mengerjakan solat lima waktu, terutama Subuh?

Soalan ini tidak relevan bagi ibubapa yang memang tidak pernah mengerjakan solat, tetapi bagi ibubapa yang mengerjakan solat, walaupun mungkin kadang-kadang tidak sepenuhnya, soalan ini amat relevan. 

Sejauhmanakah kita bersungguh-sungguh memastikan setiap anak kita dididik mengerjakan solat secara tetap dan tertib? Adakah kita lebih berasa marah jika anak ponteng sekolah berbanding jika anak ponteng solat? Jika ini situasinya, anda dan anak anda berada dalam bahaya!

Biasanya kita mengejutkan anak waktu pagi atau kala Subuh adalah lebih kerana mahu dia ke sekolah, bukan disebabkan mahu dia mengerjakan solat Subuh. Betul atau tidak? Kalau pun anak yang bangun pagi kemudian mengerjakan solat Subuh setelah mandi, namun niat kita mengejutkannya daripada tidur lebih disebabkan mahu dia ke sekolah.

Dan, berapa ramai ibubapa membiarkan anak ketinggalan mengerjakan solat Subuh dek takut ketinggalan bas sekolah atau lewat ke sekolah.

Mari kita perhatikan situasi pada bulan Ramadhan. Biasanya, tidak dapat tidak kita berusaha sedaya mungkin bagi memastikan anak kita bangun makan sahur. Dengan apa cara sekali pun, kita akan memastikan anak kita bangun makan sahur, tetapi sedar atau tidak bahawa makan sahur itu sunat tetapi solat Subuh yang wajib itu kita sering remehkan? Kita mungkin sering merelakan anak kita ke sekolah tanpa mengerjakan solat Subuh terlebih dahulu.

Jadi, secara analoginya, perlukah kita menggunakan seterika panas untuk mengejutkan anak kita mengerjakan solat Subuh (api neraka itu jauh lebih panas berbanding bahang seterika)?

Secara praktiknya, Islam tidak mengajar sedemikian. Islam mengajar mendidik secara berhikmah, tetapi jangan ‘ala kadar’ sahaja. Ibubapa mesti tegas dan tetap memastikan anak-anak mengerjakan solat, termasuk Subuh. – inimajalah.com