Inimajalah Berita,Berita Media perdana dapat modal besar burukkan Bersih 3.0

Media perdana dapat modal besar burukkan Bersih 3.0



Seperti biasa, pada pandangan media perdana di Malaysia, tidak ada satu pun yang lunak dan muluk jika ia adalah program berkaitan pembangkang.

Terbaharu, sejak petang tadi dan kemuncaknya malam ini, program Bersih 3.0 yang bertujuan menuntut pilihanraya lebih telus dan adil, sekali lagi diuar-uarkan media perdana sebagai satu keganasan, lebih-lebih lagi secara kebetulan program kali ini mencetuskan insiden menterbalikkan kereta polis.

Perhimpunan itu dilapor berjalan aman sehinggalah apabila polis mula bertindak menembak gas pemedih mata dan menyembur ‘water canon’ ke tengah ratusan ribu peserta perhimpunan.

Seperti dilaporkan media internet, ia diikuti pelbagai insiden lain, termasuklah keganasan polis membelasah orang awam yang menyertai program itu.

Namun keganasan polis tidak ditunjukkan oleh media perdana. Sebaliknya, media perdana sengaja menunjukkan seseorang dipercayai peserta Bersih 3.0 naik ke atas bumbung kereta polis dan menghentak kaki sehingga kereta berkenaan kemek. Ditunjukkan juga kereta polis yang kemek.

Dalam satu insiden lain, ditunjukkan peserta Bersih 3.0 mengalihkan kon plastik yang diletakkan bagi menghalang peserta program itu masuk ke Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, media perdana tidak menjelaskan mengapa ‘keganasan’ itu berlaku. Tinjauan inimajalah.com di media Internet mendapati banyak blog dan portal berita melaporkan ia berlaku selepas kereta polis terbabit melanggar peserta perhimpunan berkenaan ketika suasana kelam kabut. Ini tidak diuar-uarkan media perdana, terutama televisyen.

Media perdana juga tidak menunjukkan keganasan polis menembak gas pemedih mata dan air kimia kepada peserta Bersih 3.0 sehingga ada yang sesak nafas serta tidak dapat bernyawa.

Malah banyak blog dan portal berita Internet melaporkan sekurang-kurangnya dua dipercayai peserta Bersih 3.0 cedera parah dan dirawat di hospital. Seorang daripadanya dilaporkan terkena kelongsong gas pemedih mata.

Polis juga dilaporkan bertindak ganas memukul dan menerajang peserta Bersih 3.0.  Perbuatan itu dapat dilihat di beberapa rakaman video di Youtube.com. Video ini didakwa satu daripada kekejaman sekumpulan polis secara beramai-ramai membelasah seorang peserta perhimpunan berkenaan. Video sama juga dapat dilihat di sini.

Namun, tidak satu pun keganasan polis dilaporkan media perdana.

Inilah corak pemberitaan yang boleh mengundang dan melipatgandakan ‘kemurkaan’ rakyat terhadap pemerintah yang sering dikaitkan sebagai ‘mempengaruhi kelakuan media perdana’ di negara ini . – inimajalah.com

Tags: ,