Inimajalah 1 Utama,Analisis,Artikel,Artikel Terkini,Niaga & Kewangan,Pilihan Editor Bajet 2012 boleh menyebabkan petaka ekonomi?

Bajet 2012 boleh menyebabkan petaka ekonomi?


Picture 15 300x203 2 - Bajet 2012 boleh menyebabkan petaka ekonomi?

Walaupun banyak pihak menyifatkan Bajet 2012 adalah ‘gula-gula politik’ dan bajet pilihanraya, kita memilih untuk bersangka baik terhadap niat kerajaan membantu rakyat.

Namun, untuk kekal bersangka baik agak susah juga. Ini kerana kita turut dihadapkan dengan beberapa persoalan sejak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, membentangkan bajet itu di Parlimen pada 7 Oktober 2011.

Antaranya ialah  laporan yang memetik beberapa ahli ekonomi berpendapat Bajet 2012 berisiko membawa negara ke arah corak perbelajaan tidak mampan. Ini berbahaya ketika ekonomi dunia kini dalam keadaan tidak menentu.

Pendapat itu disuarakan Pengarah Penyelidilan Global, Bank of Amerika, Chua Hak Bin di dialog pasca Bajet 2012 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Universiti Malaya, 10 Oktober 2011.

Menurut laporan malaysianinsider.com, Chua menyatakan hutang isirumah dan hutang awam kini berada pada paras membimbangkan. Chua juga mengaitkan kedudukan itu dengan kadar defisit yang akan memberi tekanan kepada ekonomi semasa.

Paras hutang domestik yang tinggi bukan cerita baru. Laporan pada 2009 yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan disiarkan beberapa akhbar utama menyebut Malaysia mempunyai hutang isirumah tertinggi di Asia.

Paras hutang isirumah daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat kepada 76.6 peratus bagi 2009 berbanding 63.9 peratus pada 2008.

Apa yang dapat difahami mengenai statistik ini ialah pinjaman untuk membiayai keperluan isirumah lebih meningkat berbanding pinjaman membiayai perniagaan.

Hutang negara pula dilaporkan meningkat 11.9 peratus daripada RM437 bilion kepada RM455.75 billion.

Paras hutang yang semakin tinggi sudah tentu tidak sihat untuk rakyat dan negara.

Dan, Bajet 2012 yang memberi imbuhan besar kepada penjawat awam serta beberapa imbuhan kepada gologan tertentu, sudah tentu akan menyebabkan kenakan harga barangan dan perkhidmatan. Ia juga memungkinkan pertambahan hutang domestik.

Golongan yang paling dijangka mendapat petaka ekonomi akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan ialah rakyat tidak berpendapatan tetap dan berpendapatan rendah, terutama penduduk luar bandar dan pekerja swasta.

Benar. Ada ahli akademik cuba berhujah dangkal kononnya Bajet 2012 turut memberi kemudahan setara kepada semua golongan. Antaranya ialah laporan utusan.com.my yang memetik kenyataan Pensyarah Kanan, Pengurusan Strategi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Halim Hilman Abdullah.

Jika laporan itu benar, tepat dan tidak diselewengkan, pensyarah terbabit bermaksud kerajaan berlaku adil walaupun nampak seolah-olah hanya kakitangan awam diutamakan dalam bajet berkenaan.

Beliau dipetik sebagai berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan besar seperti imbuhan RM500, pemansuhan yuran persekolahan dan pembangunan luar bandar, bukan mengutamakan kakitangan awam sahaja.

Ini adalah hujah dangkal kerana pemansuhan yuran sekolah dan pembangunan luar bandar turut dinikmati semua golongan, termasuklah mereka yang menerima kenaikan gaji.

Sudah tentu petaka besar akan menimpa golongan berpendapatan rendah dan tidak tetap. Malah, gendang raya kenaikan harga barang sudah dipalu apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sendiri dilaporkan mengambil langkah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Harga bagi mengekang kenaikan harga hanya beberapa hari selepas bajet dibentangkan di Parlimen. Maknanya, tempias petaka kenaikan harga akan segera dirasai mereka berpendapatan rendah dan tidak berpendapatan tetap.

Kita mahu bersangka baik terhadap niat kerajaan membantu rakyat, tetapi beberapa persoalan yang dihadapkan saban hari sejak Bajet 2012, amat meresahkan.

Wall Street Journal (WSJ), media ekonomi dan kewangan berpengaruh di peringkat global, turut menyifatkan pemberian ‘buah tangan’, yang diumumkan dalam jumlah yang banyak menerusi Bajet 2012 tidak akan membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sebaliknya menurut akhbar itu, pentadbiran Najib perlu memperkenalkan pembaharuan menyeluruh untuk membantu Malaysia mencapai pertumbuhan yang diharapkan.

Apa yang dimusykilkan, terutama oleh kalangan parti pembangkang ialah, unjuran dan angka di dalam bajet berkenaan tampak tidak berwibawa dan tidak realisitk.

Malah, terbaru MIER sudah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6 peratus. Badan itu menganggap, berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran pertumbuhan lima peratus hingga  enam peratus yang diguna pakai adalah sukar untuk dicapai.

Mungkin dengan ‘satu dua angka’ boleh mengelirukan ‘orang kampung’ yang tidak memahami selok belok ekonomi, tetapi ia tidak dapat mengabui mata semua orang.

Justeru, kerajaan perlu bukan sahaja menjadikan bajet berkenaan berwibawa dengan unjuran yang munasabah, malah bajet itu petlu dilihat sebagai realitsik dan konkrit dalam usaha membantu rakyat, bukan semata-mata ‘gula-gula politik’.

Kita seboleh-bolehnya mahu sentiasa bersangka baik kepada kerajaan dalam nawaitunya membantu rakyat. Namun, beberapa persoalan di atas perlu dijawab terlebih dahulu. Setidak-tidaknya, Bajet 2012 perlu didahului Laporan Ketua Audit Negara seperti amalan yang biasa dilakukan.

Ibarat bertukang rumah; rumah bukan sahaja molek dipandang mata, malah tidak berbahaya untuk didiami. – inimajalah.com